Wednesday, June 7, 2017

Auta Mahathir Mahu Jadi PM Semula Untuk ‘Selamatkan Malaysia’ Atau Selamatkan Mukhriz?


Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah menyifatkan kesediaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU14 kelak membuktikan perebutan kuasa dalam pembangkang ini jelas dan menjelikkan.

Tambahnya, PKR secara konsisten mahukan Anwar Ibrahim sebagai PM, PAN mencadangkan Mat Sabu sebagai PM, manakala parti PPBM tidak konsisten dalam mencadangkan calonnya, sama ada Muhyiddin ataupun Mukhriz dan yang terbaru, Tun Mahathir pula menyatakan hasrat beliau pada usia 92 tahun untuk kembali menjadi PM.


“Seperti biasa Dap memainkan peranan dalam isu ini di mana mengambil pendekatan menyokong semua pihak, kerana mereka mempunyai agenda utama iaitu siapa sahaja jadi PM di bawah Pakatan harus akur pada tiap agenda Dap.

“Jika kita lihat kebelakangan ini perebutan kuasa untuk menjadi PM selepas PRU14 di antara parti-parti pembangkang ini hebat diperkatakan. Laungan politik baru untuk anak muda yang dibawa oleh pembangkang jelas hanya omongan kosong kerana secara jelas calon-calon PM yang mereka namakan adalah ‘Remaja Tua’,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Dalam masa yang sama ujarnya, cerita Tun Mahathir berhasrat mahu menjadi PM semula ini hanyalah ‘sandiwara siapa PM pembangkang’, tapi yang lebih menarik untuk dipertontonkan ialah pembahagian kerusi-kerusi di kalangan pembangkang dalam menghadapi PRU14 nanti .

“Bagi saya kenyataan Tun M ini lebih kepada untuk menyelamatkan masa hadapan politik anak emas beliau, Mukhriz dalam arena politik negara. Tun M merancang semua strategik politik beliau untuk memastikan kesinambungan kuasa politik bagi anak emas beliau.

“Jika kita nilaikan gerakan di bawah Tun M ini lebih kearah politik peribadi daripada kepentingan rakyat. Rakyat dimomokkan dengan laungan ‘Selamatkan Malaysia’ di mana sepatutnya laungan ‘Selamatkan Mukhriz’ adalah gerakan tersirat beliau,” tambahnya yang juga Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M)

Beliau seterusnya berkata sejarah tidak boleh dipadam di mana umum mengetahui selama 22 tahun Tun M menjadi Perdana Menteri beliau juga pernah dikecam teruk malah pernah didesak letak jawatan.

“Selama 22 tahun beliau jadi PM, pelbagai skandal dan isu panas yang ada ketika era beliau. Jadi jangan ingat rakyat lupa sejarah, beliau bernasib baik ketika zaman beliau jadi PM tiada sosial media seperti hari ini.

“Saya sebagai generasi muda zaman pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Razak rasakan, niat Tun M itu sekadar lebih untuk menyelamatkan politik Mukhriz daripada kepentingan negara.

“Saya berdiri teguh bersama kepimpinan DS Najib dan kepimpinan Barisan Nasional kerana secara konsisten membawa politik khidmat bakti melebihi politik nafsu kebencian oleh pembangkang,” tambahnya lagi. - MediaUMNO




No comments:

Post a Comment