Wednesday, August 17, 2016

UMNO Sudah Lama Bertapak, Tidak Mudah Dijatuhkan




Parti baharu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dapat menjatuhkan UMNO memandangkan penguasaan bersejarah parti berkenaan yang sekian lama bertapak di Malaysia, kata penganalisis politik dan ekonomi.

Ahli ekonomi di bank pelaburan Natixis, Tringh Nguyen memberitahu CNBC, Bersatu mungkin bukan lawan digeruni malah kurang yakin kemampuan parti baharu itu, memandangkan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 91 tahun dan pengaruh politiknya juga semakin merosot.

“Tidak mungkin Mahathir boleh meraih sokongan untuk menjatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Laporan itu menyatakan landskap politik negara yang berselerak, khasnya dengan pembangkang yang kelihatan berpecah-belah adalah satu lagi sebab Umno akan terus berkuasa.

“Ada banyak cabaran menanti Bersatu, khasnya dengan pembangkang yang berpecah-belah,” kata Norshahril Saat, felow Iseas-Institut Yusof-Ishak yang merupakan sebuah kumpulan penyelidikan khusus dalam kajian Asean.

Norshahril berkata, perbalahan dalaman antara pembangkang, iaitu PKR, DAP, PAS dan Amanah turut memperkukuhkan penguasaan Barisan Nasional.

Sementara itu, Oh Ei Sun yang merupakan bekas setiausaha politik Najib dari 2009 hingga 2011 dan kini adalah felow kanan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura Singapore berkata, Bersatu ditubuhkan untuk menggulingkan perdana menteri.

Menurut laporan itu, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PAN, PKR dan DAP tewas dalam dua pilihan raya kecil, baru-baru ini, manakala satu lagi pakatan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama menggabungkan beberapa parti pembangkang kecil.

Bersatu pernah menegaskan ia tidak keberatan bersekutu dengan Pakatan Harapan dan jika itu berlaku, Oh berkata, ia hanya akan lebih mengelirukan landskap pembangkang.

Saat bagaimanapun berkata, beberapa pakatan itu akan menjadikan Pilihan Raya Umum 14 akan datang lebih menarik.

“Harapan Mahathir ialah sentimen terhadap kerajaan BN tidak berubah sejak 2013, apabila lebih separuh rakyat Malaysia mengundi pembangkang,” katanya.

Kurangnya alternatif berdaya maju buat Najib dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia secara keseluruhannya berada dalam “survival strategik”, kata Nguyen kepada CNBC.

Beliau berkata, dalam suasana politik huru-hara, wujud ruang tidak berkembang terhadap ramalan jangka sederhana dan kekurangan perbincangan untuk membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya.

No comments:

Post a Comment