Monday, January 29, 2018

“Saya Tertipu Dengan Perjuangan Mahathir, Muhyiddin Dan Mukhriz” - Anina Saaduddin

Image result for ANINA MARAH MAHATHIR MUKHRIZ MUHYIDDIN

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ainina Saaduddin mendedahkan beliau merasa tertipu dengan perjuangan yang dibawa oleh Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir yang kononnya untuk menyelamatkan UMNO dengan mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Hakikatnya jelas beliau, apabila agenda perjuangan itu mula bertukar kepada agenda politik peribadi Dr Mahathir untuk meneruskan legasi kuasanya menerusi anaknya Mukhriz Mahathir, apabila dia membuat keputusan untuk menubuhkan PPBM.


Menurut Ainina, keputusan Dr Mahathir untuk menubuhkan sebuah parti baru bagi menentang UMNO membuatkan beliau mula merasa curiga memandangkan ianya sudah lari daripada matlamat asalnya iaitu untuk menyelamatkan UMNO.

“Di awal penglibatan saya bersama Dr Mahathir, beliau memberitahu kepada saya perjuangan beliau adalah untuk menyelamatkan UMNO dengan mendesak Datuk Seri Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.

“Namun apabila beliau membuat keputusan untuk menubuhkan PPBM, saya mula tertanya-tanya mengapa perlu ada sebuah parti baru kerana matlamat asal hanyalah untuk mendesak Datuk Seri Najib meletakkan jawatan untuk menyelamatkan UMNO.

“Saya bertanya kepada Dr Mahathir mengapa kita perlu ada parti baru untuk orang Melayu. Kata Dr Mahathir, kita perlu menubuhkan parti baru kerana kita tidak ada platform untuk bercakap. Saya bertanya lagi kepadanya, perjuangan awalnya adalah untuk meminta Datuk Seri Najib letak jawatan untuk memperkuatkan parti, tetapi kenapa hari ini kita perlu menubuhkan parti baru untuk menjatuhkan UMNO?

“Dan jawapan Dr Mahathir kepada saya, ini adalah kerana UMNO menurut beliau telah rosak daripada akar ke pucuk. Jadi perlu ada satu parti baru, untuk menggantikan UMNO yang mana jelas ianya telah bercanggah dengan perjuangan asal yang dikatakan oleh beliau, Tan Sri Muhyiddin dan juga Mukhriz Mahathir di awal-awal dulu, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menjadi panel dalam diskusi program Perjuangan 4All anjuran Jabatan Penerangan UMNO Malaysia di Seri Pasific Sabtu lalu.

Tambah beliau, matlamat dan agenda peribadi Dr Mahathir semakin jelas apabila pembentukan bahagian-bahagian PPBM di seluruh negara telah diserahkan bulat-bulat kepada anaknya, Mukhriz Mahathir.

“Apabila PPBM telah ditubuhkan, maka saya mula nampak pergolakan kepimpinan yang amat dahsyat di dalam PPBM. Ini juga menyebabkan keahlian PPBM tidak mampu melebihi 100 ribu ahli ekoran arus pergolakan kepimpinan yang amat deras berlaku di dalam parti tersebut.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diberikan jawatan sebagai Presiden PPBM kelihatan bagai tidak berfungsi apabila Mukhriz yang dilantik menjadi pengerusi pembentukan bahagian PPBM telah mengatur orang-orangnya di peringkat bahagian dan akar umbi di seluruh negara.

“Apabila Mukhirz mula menyusun orang-orangnya di peringkat bahagian di seluruh negara, maka saya mula tertanya-tanya, apa sebenarnya yang dilakukan oleh beliau? Jadi apabila saya kaji, maka saya mula nampak bahawa perjuangan ini bukanlah perjuangan demi rakyat, tetapi ianya lebih kepada perjuangan politik peribadi untuk meneruskan legasi kuasa Dr Mahathir menerusi anaknya”, jelas Anina.

Katanya lagi, jika benar Dr Mahathir berkata perjuangan yang dilakukan oleh beliau, Tan Sri Muhyiddin dan juga Mukhriz Mahathir adalah tulus ikhlas untuk rakyat, maka cara dan kaedah pentadbiran parti juga mesti betul.

“Apabila saya dipecat daripada jawatan Ketua Srikandi hanya melalui whatsapp grup, saya sudah nampak dengan jelas bahawasanya perjuangan ini sudah tidak betul dan saya perlu meninggalkan perjuangan yang sia-sia ini.

“Apabila saya meninggalkan parti PPBM, maka bertalu-talu saya difitnah kononnya saya sudah diberi dedak berjuta-juta, sedangkan ia hanyalah fitnah semata-mata. Apa yang saya lakukan hari ini, dengan mendedahkan segala penyelewengan dan agenda politik peribadi Dr Mahathir yang dilakukan dalam PPBM adalah semata-mata untuk memperbetulkan kesilapan saya kepada rakyat di negara ini dengan menyokong perjuangan palsu yang dibawa oleh Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan juga Mukhriz Mahathir.

“Jika sebuah partiyang baru setahun jagung seperti PPBM sudah mempunyai satu cara tadbir urus parti yang teruk, pemalsuan dokumen, fitnah yang berleluasa, ini merupakan satu gambaran yang jelas kepada saya tidak perlu menyesal untuk meninggalkan perjuangan Dr Mahathir Mohamad dalam PPBM ini,” tegasnya .- MediaUMNO

No comments:

Post a Comment